AKSI Matteo Guendouzi  ketika Arsenal mendahului Valencia 3-1 selepas aksi separuh akhir pertama Liga Europa. FOTO EPA
AKSI Matteo Guendouzi ketika Arsenal mendahului Valencia 3-1 selepas aksi separuh akhir pertama Liga Europa. FOTO EPA
AFP

ARSENAL kini selangkah ke final Piala Eropah namun itu bukan alasan mereka memandang mudah aksi menentang Brighton malam esok dalam perburuan empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Skuad Unai Emery beraksi buruk dalam liga itu kebelakangan ini, tewas empat daripada lima perlawanan terakhir selepas meletakkan mereka dalam kedudukan yang teguh.

Mereka kini dua mata di belakang pasukan di tangga keempat Chelsea dengan baki dua perlawanan, yang pertama di laman sendiri menentang Brighton dan kedua menentang Burnley di tempat lawan.

Namun mereka masih mempunyai dua peluang untuk mara ke Liga Juara-Juara musim depan iaitu dengan menjuarai Liga Europa atau naik daripada kedudukan mereka sekarang di tangga kelima Liga Perdana.

Arsenal mendahului Valencia 3-1 selepas aksi separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi semalam.

Kemenangan dalam kejohanan itu akan mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Emery yang berkata kepulangan ke Liga Juara-Juara selepas dua tahun adalah ‘objektif pertama ‘ kelab itu, menyedari beliau tidak mampu mengawal situasi berkenaan.

“Kami perlu menang perlawanan berikutnya dan jika kami menang ke atas Brighton, kami akan melangkah ke perlawanan terakhir menentang Burnley dengan kemungkinan berada di kelompok empat teratas,” katanya.

“Ia bukan di tangan kami, tetapi kami perlu menang perlawanan kami dan yang pertama adalah Ahad ini.

“Bukan mudah untuk menang setiap perlawanan, bagi kami dan pasukan lain tetapi fokus kami adalah menang ke atas Brighton untuk berdepan kemungkinan berbeza.

“Kami akan bermain perlawanan terakhir di laman sendiri dan mahu menamatkan aksi di Stadium Emirates dengan kejayaan.

“Matlamat pertama adalah menamatkan saingan di empat tangga teratas dan ia akan memberikan kami peluang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 10:36 AM