AUBAMEYANG (tiga kanan) meraikan golnya menerusi sepakan penalti pada babak pertama di Emirates. — FOTO Reuters
AUBAMEYANG (tiga kanan) meraikan golnya menerusi sepakan penalti pada babak pertama di Emirates. — FOTO Reuters
AFP

PELUANG Arsenal layak ke Liga Juara-Juara menerusi penamat empat teratas Liga Perdana Inggeris makin sukar selepas mereka seri 1-1 dengan kelab bawahan Brighton, awal pagi tadi.

Ketika Tottenham tewas Sabtu lalu dan Manchester United hanya mampu seri di Huddersfield malam tadi, kemenangan buat anak buah Unai Emery akan membantu mereka merapatkan jurang kepada satu mata di belakang pasukan tangga keempat Spurs.

Sebaliknya mereka menuju ke hari terakhir menentang Burnley tiga mata di belakang Spurs dan dengan jumlah perbezaan gol lebih kecil selepas Brighton memastikan mereka kekal di liga utama dengan satu mata.

Pendahulu Liverpool dan Manchester United sudah memastikan dua tangga teratas dan Arsenal tidak mampu lagi mengejar pasukan tangga ketiga Chelsea, yang mengumpul 71 mata, empat mata di depan mereka.

MURRAY (kanan) mudah mengatasi penjaga gol Arsenal, Bernd Leno menerusi sepakan penalti. — FOTO Reuters
MURRAY (kanan) mudah mengatasi penjaga gol Arsenal, Bernd Leno menerusi sepakan penalti. — FOTO Reuters

Arsenal bagaimanapun boleh layak ke Liga Juara-Juara dengan memenangi Liga Europa dan peluang mereka ke final cerah selepas menang 3-1 pada separuh akhir pertama menentang Valencia.

Emery yang kelihatan kecewa, dalam musim sulungnya di Emirates selepas menggantikan Arsene Wenger, kini memikirkan perlawanan Liga Europa di Sepanyol selepas perlawanan itu.

“Kami patut menang tapi kami sedar secara bertahan kami amat kuat dan bermain dengan bagus,” kata bos dari Sepanyol itu.

“Kami berjuang dan cuba menang setiap perlawanan dalam Liga Perdana namun setiap perlawanan sukar dan hari ini satu daripada contohnya,” ujarnya.

“Kami sedar ia pasti sukar tapi kini fokus kami adalah Liga Europa,” katanya. “Kami ada peluang dalam Liga Europa untuk melakukan sesuatu yang penting dan kami akan cuba melakukannya.”

Penjaring gol terbanyak kelab, Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan Gunners di depan seawal minit kesembilan menerusi sepakan penalti sebelum Glenn Murray menyamakan kedudukan buat pelawat juga menerusi penalti pada minit ke-61.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 7:41 AM