KLOPP dan Guardiola enggan ambil mudah lawan masing-masing. - FOTO Agensi
KLOPP dan Guardiola enggan ambil mudah lawan masing-masing. - FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER City dan Liverpool tidak menunjukkan sebarang tanda mengalah dalam memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris tetapi berbeza dengan pasukan lain yang bergelut memburu kelompok empat teratas.

Manchester United berdepan tugas getir apabila menerima kunjungan Chelsea pada Ahad ini selepas kalah kali ketujuh daripada sembilan perlawanan dalam semua kejohanan.

Tetapi mereka bernasib baik selepas skuad Maurizio Sarri dan Arsenal turut tewas kepada Crystal Palace dan Wolves, bermakna United masih lagi berpeluang ke Liga Juara-Juara musim depan apabila hanya ketinggalan tiga mata di belakang pasukan tangga keempat.

Kekalahan United kepada City awal pagi Khamis lalu membolehkan juara bertahan itu memintas Liverpool di puncak liga dengan kelebihan satu mata dan berbaki tiga perlawanan buat kedua-dua pasukan.

Kemenangan itu yang ke-11 berturut-turut City dan kali terakhir kedua-dua pasukan itu kehilangan mata hampir dua bulan lalu dengan Liverpool seri menentang Everton di Goodison Park.

Liverpool telah pun mengatasi rekod kutipan mata mereka dalam era Liga Perdana iaitu 88 dan skuad Jurgen Klopp dijangka merampas kembali pendahulu apabila melayan Huddersfield di Anfield malam esok.

"Sekarang kami satu mata di belakang City dan tahu jika menang baki dua perlawanan lagi, keputusan akan ditentukan pada aksi terakhir dan pasti ia istimewa,” kata Klopp, awal pagi tadi.

City hanya akan beraksi pada Ahad ini apabila berkunjung ke Burnley dan pengurus, Pep Guardiola bimbang dengan kegembiraan pemainnya yang masih dirasai selepas mengatasi cabaran terakhir paling sukar di Old Trafford, Khamis lalu.

"Saya tahu penyokong memperkatakan mengenai betapa bagusnya kami ketika itu tetapi sekarang kami menentang Burnley di tempat mereka yang sememangnya sukar seperti dua musim sebelum ini,” kata Guardiola.

City yang mencipta rekod 100 mata musim lalu hanya mampu seri 1-1 menentang Burnley.

Tottenham yang berada di belakang City dan Liverpool dijangka tiada masalah layak ke Liga Juara-Juara musim depan kali buat keempat berturut-turut selepas dipisahkan dengan Arsenal empat mata hasil kemenangan sukar 1-0 ke atas Brighton, Rabu lalu.

Spurs mampu melebarkan jurang mata mata apabila menerima kunjungan West Ham di Stadium Tottenham Hotspur malam esok dengan pelawat mahu menjadi pasukan pertama membolosi gawang tuan rumah di venue baharu mereka.

Arsenal boleh melonjak ke tangga keempat pada Ahad ini jika mereka memperbaiki prestasi di tempat lawan apabila berkunjung ke Leicester.

Satu mata sudah cukup buat skuad Unai Emery memintas Chelsea berdasarkan perbezaan gol sebelum The Blues menentang United di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 9:33 AM