Irfan (kiri) ingatkan pemain jangan beri ruang kepada pemain Pahang. FOTO NSTP
Irfan (kiri) ingatkan pemain jangan beri ruang kepada pemain Pahang. FOTO NSTP
Malik Muhamad


RANTAI pergerakan pemain lawan walaupun seinci.

Begitulah peringatan diberikan oleh pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim kepada anak buahnya menjelang pertembungan dengan Pahang pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, malam esok.

Jurulatih berpengalaman itu yakin jika pemainnya berjaya merealisasikan taktikal yang diatur termasuk menyekat pergerakan pemain lawan bermula di jentera tengah lagi, misi untuk mara ke separuh akhir cerah.

"Saya sudah mengarahkan pemain tidak beri ruang kepada pemain lawan bergerak bebas terutama berdekatan kawasan gol.

Pergerakan pemain sayap Mohamadou Sumareh dan penyerang, Jose Eduardo harus 'dimatikan'.

"Pemain perlu kekalkan semangat juang tinggi hingga ke minit terakhir permainan dan tidak menjadikan bulan puasa sebagai alasan tidak memperagakan aksi terbaik sebagaimana suku akhir pertama di Kuala Terengganu," katanya.

Pada aksi pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, bekas pemain Tok Gajah, Malik Mat Ariff dan pemain kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche menjadi watak pemusnah apabila masing-masing meledak satu gol untuk membantu skuadnya mencatat kemenangan 2-1 manakala gol Pahang dijaringkan Eduardo.

Bercakap mengenai kesebelasan utamanya, Irfan tidak menolak kemungkinan pemain sama ketika menundukkan skuad itu pada 1 Mei lalu bakal dipertaruhkan sekali lagi pada malam esok.

"Bagaimanapun saya mempunyai banyak pilihan kerana semua pemain bebas kecederaan dan penggantungan.

Malah kecergasan mereka berada di tahap terbaik.

"Saya tegaskan usah sesekali mengamalkan corak permainan bertahan sebaliknya perlu bijak bertahan dan menyerang kerana kelebihan satu gol tidak besar.

"Saya mahu pemain menjaga pemakanan terutama pada bulan puasa bagi mengelak berlakunya masalah lain," kata Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:13 PM