PEMAIN Malaysia, Fitri Saari (kiri) berhadapan dengan penjaga gol China, Yan Rong Yao,  ketika perlawanan kedua pusingan akhir siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. -Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN Malaysia, Fitri Saari (kiri) berhadapan dengan penjaga gol China, Yan Rong Yao, ketika perlawanan kedua pusingan akhir siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. -Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Saiful Affendy Sapran


MALAYSIA mensia-siakan peluang untuk mengungguli tangga teratas Kumpulan B selepas sekadar seri 4-4 dengan China pada perlawanan kedua Kumpulan B, Pusingan Akhir Siri FIH malam ini.

Susulan keputusan itu skuad negara perlu menang ke atas Itali pada perlawanan terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok untuk muncul juara kumpulan sekali gus layak ke separuh akhir.

Malaysia bermula baik apabila mendahului pada minit keempat selepas Fitri Saari menolak masuk gerakan set piece daripada Razie Rahim berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Skuad negara hampir menambah gol kedua pada minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari tetapi ia dibatalkan oleh pengadil.

Selepas rehat, Malaysian Tigers berjaya menambah gol kedua menerusi jaringan padang Firhan Ashari pada minit ke-34.

Anak buah Roelant Oltmans terus memberi tekanan ke atas China dengan berpeluang melakukan beberapa gerakan berbahaya selepas itu.

China, yang dikejutkan Itali pada perlawanan pertama, bagaimanapun merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Lin Changliang pada minit ke-43.

Memasuki suku terakhir, China menggandakan asakan dan akhirnya memperoleh gol penyamaan hasil pukulan sudut penalti Ao Weibao pada minit ke-51.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil bagaimanapun meletakkan Malaysia kembali di depan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Du Talake menyamakan kedudukan dua minit kemudian juga menerusi pukulan sudut penalti.

Tengku Tajuddin menyempurnakan tolakan Marhan Jalil pada minit ke-57 namun Dong Yang menafikan tiga mata buat tuan rumah apabila menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 10:18 PM