HOWARD  (kanan) bersama  Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak, Fazwil Abdul Wahid pada sidang media kejohanan  ITF World Junior di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Ipoh.  - FOTO Abdullah Yusof
HOWARD (kanan) bersama Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak, Fazwil Abdul Wahid pada sidang media kejohanan ITF World Junior di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Ipoh. - FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail

IPOH akan menjadi tuan rumah kejohanan tenis Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) World Junior bermula 21 hingga 28 April ini yang menghimpunkan pemain tenis antarabangsa dari 25 negara.

Kali terakhir Perak menjadi tuan rumah kejohanan ITF World Junior adalah kira-kira lima tahun lalu iaitu pada 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee berkata, bagi pertandingan itu Perak akan diwakili Mitsuki Leong yang juga pemenang pingat emas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Terbuka Bawah 18 Tahun yang juga pemain tenis berkaliber dan banyak mewakili negara dalam beberapa siri kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Pemain tenis wanita yang akan mewakili Perak pula adalah Hannah Yip, yang juga seorang pemain tenis berkaliber yang disegani dan digeruni di negara ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak, Fazwil Abdul Wahid.

Antara negara yang akan menyertai ITF World Junior minggu hadapan adalah India, Sri Lanka, Britain, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Uzbekistan, Rusia, Taiwan, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Belanda serta beberapa lagi negara lain.

Howard berkata, pada masa sama program itu turut menganjurkan klinik mini tenis untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak yang berminat untuk menceburi sukan tenis bertaraf dunia.

"Penganjuran acara ini juga bakal memberi peluang kepada pemain negara untuk beramah mesra dengan pemain tenis antarabangsa.

"Program ini di bawah selian Majlis Sukan Negara, MSSM dan Pejabat EXCO Pembangunan Belia dan Sukan ini turut mendapat tajaan bukan tunai daripada pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata, penganjuran acara itu juga selari dan selaras dengan objektif serta hala tuju kerajaan negeri untuk menjadikan Ipoh destinasi sukan bertaraf antarabangsa yang turut menyediakan pelbagai kemudahan sukan bertaraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:15 PM