YANG di-Pertuan Agong menyampaikan anugerah  kepada Rafiq  (dua dari kanan) semalam. - BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong menyampaikan anugerah kepada Rafiq (dua dari kanan) semalam. - BERNAMA
Ferzalfie Fauzi

JAGUH bowling lelaki negara, Rafiq Ismail menganggap segala penat lelahnya pada musim penuh mencabar tahun lalu mendapat pulangan berbaloi selepas merangkul Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018 semalam.

Rafiq yang berasal dari Kuala Lumpur berasa bangga dapat meraih anugerah berkenaan walaupun dicabar calon bertaraf dunia.

"Calon lain adalah atlet terbaik di dalam negara ini dan bertaraf dunia. Jadi apa yang saya raih ini adalah satu penghormatan tertinggi," katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah di Ampang.

Ujarnya, anugerah diraihnya itu memberi satu penghormatan kepadanya berdasarkan kejayaan tahun lalu.

"Ia dijadikan satu pembakar semangat dan menaikkan motivasi saya untuk mengekalkan prestasi atau lebih dari itu tahun ini. Saya juga rasa bangga dan berbesar hati kerana yang menyampaikan anugerah berkenaan ialah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah.

“Ini saat manis akan saya kenang sampai bila-bila," katanya yang muncul juara acara perseorangan lelaki di Kejohanan Bowling Lelaki Dunia di Hong Kong tahun lalu.

Rafiq berjaya mengenepikan saingan beberapa atlet tersohor negara seperti jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang; gandingan ratu terjun, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong; Amy Kwan (gimrama) dan Hazim Amzad (silat).

Kejayaannya di Hong Kong turut melakar sejarah dalam sukan berkenaan apabila menjadi pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Dia yang berusia 22 tahun turut beraksi cemerlang di Sukan Asia tahun lalu dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki serta muncul juara kebangsaan buat kali kedua selepas 2015.

Dalam majlis berkenaan atlet kelahiran Perlis, Ridzuan Mohd Puzi pula meraih anugerah Atlet Paralimpik Terbaik selepas kejayaannya di Sukan Para Asia di Jakarta tahun lepas dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan juga Asia. Kedua-dua mereka berjaya membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 7:01 PM