RAFIQ (kiri)  dan Ridzuan Mohd Puzi  dinobat  Atlet Terbaik ketika Majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Hotel Hilton, Petaling Jaya.  - FOTO  Mohamad  Shahril  Badri Saali
RAFIQ (kiri) dan Ridzuan Mohd Puzi dinobat Atlet Terbaik ketika Majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Hotel Hilton, Petaling Jaya. - FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi

KEJAYAAN muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Bowling Lelaki Dunia di Hong Kong membolehkan Rafiq Ismail merangkul Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018 hari ini.

Atlet kelahiran Perlis, Ridzuan Puzi pula meraih anugerah Atlet Paralimpik Terbaik selepas kejayaannya di Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan Asia.

Mereka membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Rafiq mengetepikan saingan beberapa atlet tersohor negara seperti jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang, gandingan ratu terjun, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, Amy Kwan (gimrama) dan Hazim Amzad (silat).

Kejayaannya di Hong Kong turut melakar sejarah dalam sukan itu apabila menjadi pemain pertama negara meraih kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Rafiq yang berusia 22 tahun turut beraksi cemerlang pada Sukan Asia apabila meraih satu pingat emas dan satu perak masing-masing menerusi acara Masters dan trio lelaki serta muncul sebagai juara kebangsaan buat kali kedua selepas 2015.

Sementara itu, Ridzuan pula mengalahkan dua lagi jaguh sukan olahraga para negara iaitu Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta Bonnie Bunyau Anak Gustin daripada sukan powerlifting.

Ia kali kedua Ridzuan dinobat sebagai Atlet Paralimpik Terbaik selepas menerimanya pada 2016.

Ridzuan yang berusia 31 tahun turut menerima Anugerah Pilihan Peminat 100Plus, yang memberi peluang kepada peminat sukan negara mengundi atlet pilihan masing-masing berdasarkan prestasi yang dipamerkan sepanjang tahun lalu.

Pada majlis itu, SAM juga menyampaikan Anugerah Khas Sepanjang Hayat kepada Penaung Diraja SAM, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah atas sumbangan besar baginda kepada arena sukan negara, khususnya bola sepak.

Anugerah tahun ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 SAM yang ditubuhkan pada 1969.

Turut berangkat ke majlis gilang-gemilang itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:18 PM