ANDREA GUARDINI
ANDREA GUARDINI
Azlan Muhammad Zain


SEPARUH perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) sudah berlangsung namun Mr Langkawi, Andrea Guardini yang juga juara empat kali Raja Pecut masih menyepi.

Pemenang 24 peringkat LTdL masih tercari-cari peluang untuk melebarkan rekod kemenangan pada edisi ke-24 kali ini.

Peluang terbaik pelumba Bardiani-CSF dari Itali hadir pada peringkat kedua dari Senawang ke Melaka namun dia dinafikan henjutan "abih reng" oleh pakar pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Harrif Saleh yang muncul juara.

Peringkat kelima hari ini dari Tanjung Malim ke Taiping sejauh 200.1km yang dilihat sesuai untuk pakar pecut memburu kejayaan.

Selain Guardini, turut menjadi tumpuan adalah kemampuan Harrif melakar kemenangan peringkat buat kali kedua.

Selain itu percaturan Team Sapura Cycling (TSC) dalam mengekalkan Jersi Kuning PETRONAS turut menjadi perhatian.

Peringkat kelima membabitkan 120 pelumba dari 22 pasukan membabitkan tiga zon pecutan di Sungkai, Kampar dan Sungai Siput selain satu zon pendakian kategori 3 di Bukit Berapit dijadual berakhir pada 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 12:44 PM