CHEN Long mara ke separuh akhir selepas menundukkan Srikanth hari ini. — FOTO Syarafiq Abd Samad
CHEN Long mara ke separuh akhir selepas menundukkan Srikanth hari ini. — FOTO Syarafiq Abd Samad
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS Lin Dan dan Jonatan Christie, kini giliran pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long pula mengakui terasa ketiadaan Datuk Lee Chong Wei di arena badminton.

Chen Long yang mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia selepas menumpaskan K Srikanth hari ini, berharap Chong Wei segera kembali beraksi.

Jaguh perseorangan China itu tidak memikirkan sama ada dia mampu mengulangi pencapaian 2015 muncul juara tanpa kehadiran Chong Wei tetapi lebih berharap bekas pemain nombor satu dunia itu segera turun ke gelanggaang.

“Saya harap Chong Wei segera pulih sepenuhnya dan turun beraksi,” katanya selepas menumpaskan Srikanth 21-18, 21-19 pada suku akhir.

Sebelum ini rakan senegara Chen Long, Lin Dan berharap dia dan Chong Wei sama-sama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berentap pada temasya itu.

Semalam Jonatan mengakui teringin untuk berdepan dengan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu yang tidak pernah ditemuinya.

Chong Wei, yang mempunyai rekod kemenangan 14-13 ke atas Chen Long, kali terakhir bertemu musuh dari China itu di gelanggang pada final Terbuka Hong Kong dua tahun lalu. Dia menang 21-14, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 9:12 PM