Vidic (kiri) menimang bola takraw bersama Garcia (dua dari kanan). FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Vidic (kiri) menimang bola takraw bersama Garcia (dua dari kanan). FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Saiful Affendy Sapran


BEKAS bintang Barcelona, Luis Garcia percaya Manchester United tidak akan memberi laluan mudah kepada Barcelona pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), bulan depan.

Meskipun United melalui musim yang tidak begitu konsisten, Garcia berkata apa saja boleh berlaku dalam perlawanan penting pada peringkat lapan terakhir.

Garcia sendiri pernah menjulang trofi UCL ketika bersama Liverpool pada 2005 yang menewaskan AC Milan pada final dramatik di Istanbul.

"Sejak akhir-akhir ini prestasi United agak memberangsangkan sepanjang di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.

"Saya masih percaya Barcelona adalah pasukan pilihan tetapi ia bukanlah jaminan untuk mereka dapat meneruskan kemaraan.

"Saingan di suku akhir pasti lebih berbeza. Pasukan pilihan seperti Real Madrid juga terkandas awal," katanya.

Garcia yang juga duta Barcelona diundang ke Kejohanan Golf Maybank di Saujana Golf and Country Club, Subang bersama bekas pertahanan United, Nemanja Vidic.

Selain meluangkan masa bersama peminat, dua pemain terbabit sempat bermain sepak takraw yang menjadi sebahagian daripada aktiviti di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 5:47 PM