IZAD (kiri)  ketika memenangi Kejohanan  Menembak Terbuka PDRM di Ulu Kinta, Perak.
IZAD (kiri) ketika memenangi Kejohanan Menembak Terbuka PDRM di Ulu Kinta, Perak.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PERSATUAN Menembak Negeri Pahang kini boleh berbangga apabila seorang penembak daripada persatuan itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok 25 terbaik dalam pertandingan sukan menembak ekstrem atau dikenali sebagai International Practical Shooting Confederation (IPSC) di Lumut, Perak, baru-baru ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd Nazri M Nordin, berkata, Izad Zainal Muhammad Safian, berjaya menempatkan diri di kedudukan 24 penembak terbaik daripada 95 penyertaan seluruh negara.

“Kita tahu sukan ini kebanyakan didominasi atlet daripada pasukan bersenjata seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM). Amat jarang orang awam menyertai dan mampu bersaing dengan mereka.

“Pada kami ini satu pencapaian amat membanggakan kerana peserta terdiri daripada pegawai dan anggota PASKAL serta UTK yang terlatih,” katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Mohd Nazri berkata, kejohanan menembak IPSC Piala Panglima TLDM yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac lalu adalah pendedahan terbaik buat atlet persatuan itu bagi menyertai kejohanan akan datang.

Katanya, selain Izad Zainal, tiga lagi atlet menembak daripada persatuan itu turut menyertai kejohanan sama iaitu Hamdan Muhamad, Mohd Azuan Adenan dan penembak wanita Noorerffani Abdul Malick.

“Kejohanan ini medan terbaik buat penembak kita bersaing dengan penembak handalan lain. Kita yakin dengan latihan berterusan dan pendedahan secukupnya penembak kita mampu bersaing dan memperoleh kedudukan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Mohd Nazri memaklumkan, Izad Zainal juga sudah mengesahkan penyertaan ke kejohanan menembak IPSC Iskandar Shoot 2019 di Kota Tinggi, Johor, April ini yang juga kejohanan IPSC antarabangsa.

Katanya, kejohanan itu dijangka menarik penyertaan penembak IPSC terbaik rantau Asia Tenggara dan Asia sekali gus menjadi platform terbaik buat Izad Zainal bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Kita meletakkan harapan kepada beliau (Izad Zainal) kerana sebelum ini pada 2018 beliau menduduki tempat pertama bagi kategori D (penembak baru IPSC) pada Kejohanan Terbuka PDRM di Ulu Kinta, Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 4:00 PM