LIMA pegawai dan 43 anggota PDRM berjaya menamatkan kursus asas pasukan elit UTK. FOTO Facebook
LIMA pegawai dan 43 anggota PDRM berjaya menamatkan kursus asas pasukan elit UTK. FOTO Facebook
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: 48 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beret keramat berwarna merah manggis (maroon) hari ini bagi menandakan kejayaan mereka mengharungi kursus asas pasukan elit, Unit Tindakhas (UTK) selama tiga bulan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berkata, seramai lima pegawai kanan dan 43 anggota berjaya menamatkan latihan asas yang diadakan pada 15 Januari hingga 15 Mac lalu.

"Mereka berjaya menamatkan Kursus Asas Unit Tindakhas (UTK) yang diraikan dalam Majlis Penganugerahan Beret 'maroon' kepada Pelatih Kursus Asas UTK Siri 1/2024 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

"Dalam siri kursus kali ini, sebanyak 325 penyertaan daripada dari seluruh Malaysia diterima, namun hanya 190 melepasi temuduga seterusnya 83 berjaya melepasi ujian pemilihan kedua dan hanya 48 yang berjaya menamatkan Kursus Asas UTK Siri 1/2024," katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Menurutnya, melalui kursus itu pelatih didedahkan dengan pelbagai kemahiran antaranya menembak, perubatan tempur, kemahiran tali, pertempuran jarak dekat (CQB), dan teknik serbuan yang direka bagi menguji kekuatan fizikal dan mental.

Majlis itu juga meraikan pemenang kejohanan menembak, Piala Kejuaraan Komander UTK - IPSC 2024, Penerima Surat Penghargaan ESSCOM dan Penerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023.

Turut hadir pada majlis itu, Komander UTK Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, Timbalan Komander Operasi UTK, Asisten Komisioner Hisham Mahmood, Timbalan Komander Kepolisan Am UTK, Superintendan Hairi Samad, dan Penolong Komander Operasi UTK, Superintendan Khairani Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:16 PM