TANGKAP layar video tular menunjukkan pemandu kereta memegang objek menyerupai pistol di Jalan Sultan Mahmud, yang kini jadi buruan polis.
TANGKAP layar video tular menunjukkan pemandu kereta memegang objek menyerupai pistol di Jalan Sultan Mahmud, yang kini jadi buruan polis.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis sedang mengesan pemandu lelaki yang memegang objek menyerupai pistol di Jalan Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 4 petang dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Setakat ini, kita menerima dua laporan mengenai kejadian membabitkan suspek yang memandu kereta berwarna putih.

"Kita sedang mengesan suspek dan ini bukan kes penculikan seperti yang ditularkan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 38 saat menunjukkan seorang lelaki yang memegang objek menyerupai pistol.

Selain video itu, turut tular beberapa mesej suara yang mengaitkan kejadian dengan kes penculikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 9:51 PM