SAR digerakkan bomba sebelum kanak-kanak 10 tahun ditemui lemas di dasar sungai dekat Jeti Sungai Gelang Patah. FOTO Ihsan Bomba.
SAR digerakkan bomba sebelum kanak-kanak 10 tahun ditemui lemas di dasar sungai dekat Jeti Sungai Gelang Patah. FOTO Ihsan Bomba.
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Kanak-kanak perempuan ditemui lemas berhampiran Jeti Sungai Gelang Patah, Kampung Dapur Arang di sini, hari ini.

Dia dikatakan terjatuh ketika bermain di tepi jeti itu dalam hujan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri Saifulizam Salleh berkata, sepasukan sembilan anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada 5 petang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang berusia 10 tahun segera digerakkan sejurus tiba.

"Setelah empat jam operasi digerakkan, mangsa dijumpai pada 9.07 malam tadi.

"Mayat mangsa ditemui di dasar sungai dengan kedalaman tiga meter. Kedudukan mangsa dijumpai lima meter dari tempat terakhir dia dilihat," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 11:23 PM