ANWAR menandatangani bagi memberi sokongan 1 juta untuk atlet negara sambil disaksikan Hannah ketika pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. -FOTO Aizuddin Saad
ANWAR menandatangani bagi memberi sokongan 1 juta untuk atlet negara sambil disaksikan Hannah ketika pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. -FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kegiatan sukan akan terus diberikan perhatian oleh kerajaan walaupun negara menghadapi kekangan kewangan dan kelembapan ekonomi.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan kegiatan sukan di negara ini adalah sebahagian daripada budaya yang mampu meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat selain menggalakkan budaya sihat di semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, aktiviti sukan di negara ini juga dapat membentuk keperibadian rakyat dengan mencintai negara selain menyemarakkan semangat patriotik apabila beraksi di pentas antarabangsa.

"Kita akan cuba sedaya upaya kerana sukan ada kekuatannya. Kerana ia adalah satu kegiatan aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa bandar dan pedalaman, kaum atau agama menerusi satu minat di dukung bersama.

"Jika ada keperluan akan kita bentangkan ke Jemaah Menteri supaya semua. Walaupun menghadapi kekangan ekonomi dan kewangan kita akan beri pertimbangan untuk peruntukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abd Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan turut komited untuk terus memberi kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang menaja persatuan sukan di negara ini.

"Saya mengulangi kenyataan pada rakan di kementerian termasuk persatuan bahawa kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang berikan bantuan dan sokongan untuk majukan sukan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 10:04 PM