Anwar bersama Hannah melihat piala Anugerah Sukan Negara 2023 bagi Olahragawan dan Olahragawati ketika hadir pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. -FOTO Aizuddin Saad
Anwar bersama Hannah melihat piala Anugerah Sukan Negara 2023 bagi Olahragawan dan Olahragawati ketika hadir pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. -FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Geran padanan sukan berjumlah RM50 juta yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) jelas sekali sudah memberikan kesan positif dalam pencapaian sukan di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata peruntukan RM1 juta menerusi geran padanan sukan yang disalurkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) jelas sekali sudah membuahkan hasil 'lumayan'.

Hal ini kerana, Hannah menjelaskan pasukan sepak takraw Malaysia berjaya muncul juara menumbangkan Thailand dalam acara regu dan double dalam Piala Dunia baru-baru ini sekali gus menyaksikan peruntukan kewangan membantu dalam meningkatkan kualiti dan pencapaian sukan.

"Pembangunan sukan atlet para menerima sebanyak RM12 juta pada tahu ini berbanding RM10 juta pada tahun 2023.

"Peningkatan peruntukan Program Podium dan Road to Gold daripada RM55 juta pada tahun 2023 kepada RM72 juta pada tahun 2024.

"Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) dengan tawaran gaji lebih menarik. Antara jawatan dan pendidikan tertentu boleh menikmati gaji bulanan mencecah RM9,500 berbanding RM4,500 sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Mengikut rekod, geran padanan sukan menerusi peruntukan RM50 juta adalah antara usaha KBS dalam memastikan pembangunan sukan di negara ini lebih konsisten dan berjaya mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

Syarat ketat diperkenalkan kementerian dengan menyaksikan pemohon perlu telus dan penganjuran sukan berkenaan dapat memanfaatkan atlet negara dalam usaha membaiki prestasi atau ranking mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 10:24 PM