IZAD Zainal  ketika memenangi Kejohanan  Menembak Terbuka PDRM di Ulu Kinta, Perak.
IZAD Zainal ketika memenangi Kejohanan Menembak Terbuka PDRM di Ulu Kinta, Perak.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PADA mulanya dia sekadar menemani bapa ke lapang sasar untuk menembak sebelum timbul minat berlatih menggunakan senjata api seterusnya bergelar penembak profesional.

Selepas lebih lima tahun menceburkan diri dalam sukan menembak ekstrem kendalian Konfiderasi Latihan Menembak Antarabangsa (IPSC), Izad Zainal Muhammad Safian, 31, kini dianggap setanding atlet handalan IPSC lain apabila menempatkan diri dalam kelompok penembak terbaik sukan itu.

Anak kelahiran Permatang Badak, Kuantan ini memberitahu, dia meminati sukan itu kerana memberikannya cabaran berbeza.

Katanya, berbanding sukan menembak dipertandingkan di peringkat Olimpik, disiplin IPSC menuntut atlet memiliki sifat agresif kerana perlu melepaskan tembakan dalam keadaan pantas, tepat dan memerlukan banyak pergerakan fizikal.

IZAD Zainal  memenangi Kejohanan  Menembak Terbuka PDRM di Ulu Kinta, Perak. NSTP/IHSAN KOLEKSI IZAD
IZAD Zainal memenangi Kejohanan Menembak Terbuka PDRM di Ulu Kinta, Perak. NSTP/IHSAN KOLEKSI IZAD

“Setiap peserta perlu merekodkan masa terpantas, jadi perlu ikut latihan secara konsisten dan amalkan teknik betul di lapang sasar serta ketika mengendalikan senjata api.

“Pencapaian terbaik saya setakat ini adalah menduduki tempat pertama bagi kategori D (penembak baru IPSC) pada kejohanan terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ulu Kinta, Ipoh, Perak,” katanya di sini, semalam.

Anak keempat daripada enam beradik itu memaklumkan, lebih manis apabila dia menewaskan beberapa penembak handalan dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan elit dan khas negara seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL) serta Unit Tindakan Khas (UTK).

Menurutnya, sukan itu belum popular dalam kalangan orang awam di negara ini. Berikutan itu, ia didominasi PASKAL dan UTK yang memiliki kemudahan latihan serta logistik terbaik.

Izad Zainal berkata, kekangan masa berlatih disebabkan tugasnya sebagai Pegawai Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tidak menghalangnya menyertai kejohanan IPSC dianjurkan.

Dia yang bernaung di bawah Persatuan Menembak Negeri Pahang memaklumkan, pembahagian masa untuk berlatih dan bekerja perlu seiring bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik.

Katanya, dia berlatih di kawasan lapang sasar Bukit Rangin, selain lapang sasar Indera Mahkota, Kuantan menggunakan pistol Glock 17.

“Saya menyertai lapan kejohanan IPSC sejak tiga tahun lalu dan berhasrat ke pertandingan peringkat antarabangsa bagi membuktikan keupayaan serta menguji kemampuan selepas lama berlatih,” katanya.

Menurutnya, dia menyertai kejohanan menembak IPSC Iskandar Shoot 2019 di Kota Tinggi, Johor, April ini yang turut disertai penembak IPSC dari rantau Asia Tenggara dan Asia.

IZAD Zainal (tengah) ketika menyertai pertandingan sukan menembak    di Lumut.
IZAD Zainal (tengah) ketika menyertai pertandingan sukan menembak di Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 8:02 AM