OPERASI di projek perumahan Taman Bandar Putra Bertam berdepan kesulitan apabila pergerakan dihidu kumpulan tonto. FOTO FB JIM Pulau Pinang.
OPERASI di projek perumahan Taman Bandar Putra Bertam berdepan kesulitan apabila pergerakan dihidu kumpulan tonto. FOTO FB JIM Pulau Pinang.
BERNAMA

Kepala Batas: Jabatan Imigresen (JIM) mengesan taktik baharu majikan di tapak pembinaan yang mengupah tonto sebagai langkah awal mendapatkan maklumat bagi membolehkan pendatang asing tanpa izin (Pati) meloloskan diri sebelum operasi oleh pihak berkuasa.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim berkata, ini selepas operasi dijalankan pihaknya di projek perumahan Taman Bandar Putra Bertam di sini, semalam menghadapi kesulitan apabila pergerakan pasukan dihidu kumpulan tonto.

Beliau berkata, tonto terbabit bertindak mengekori dan memantau gerak geri anggota penguat kuasa imigresen dengan menyalurkan maklumat kepada individu tertentu.

Menurutnya, pemeriksaan di penempatan didiami warga asing berdekatan projek perumahan berkenaan mendapati sebahagian rumah kongsi di situ kosong tidak berpenghuni.

"Pemeriksaan dilakukan menemui sekumpulan warga asing yang memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah manakala hanya tujuh pendatang tanpa izin warga Myanmar serta Nepal yang tidak sempat melarikan diri ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan berserta pas yang sah," katanya dalam hantaran di Facebook JIM Pulau Pinang, malam ini.

Nur Zulfa berkata, berdasarkan aduan dan risikan, pihaknya percaya kawasan itu didiami hampir 100 Pati.

Katanya, gerakan operasi seterusnya akan diperhalusi di samping satu siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai kaitan menggadai integriti dan amanah jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 10:41 PM