NICOLO ZANIOLO
NICOLO ZANIOLO
AFP

ROME: Bintang remaja sensasi Nicolo Zaniolo meledak dua gol bagi membolehkan Roma menewaskan Porto 2-1 dalam aksi pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Olimpico awal pagi tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu melakar gol sulung Liga Juara-Juara pada minit ke-70 di Rome, sebelum menokok gol kedua enam minit kemudian untuk memberikan kekalahan pertama kepada Porto dalam kejohanan utama kelab Eropah.

Namun Adrian Lopez berjaya merapatkan kedudukan buat kelab Portugal itu selepas minit ke-79 bagi memastikan mereka masih kekal kompetitif menjelang aksi di laman sendiri bulan depan.

“Ia malam yang menakjubkan, saya tidak terkata apa-apa dan tidak menjangkakan perkara seperti ini berlaku,” kata Zaniolo.

“Namun kami masih ada aksi kedua selepas ini, kami tidak seharusnya membiarkan gol bolos.”

Aksi itu menjadi milik pemain remaja dari Tuscany yang menjadi pujaan penyokong sejak tiba dari Inter Milan, di mana dia tidak pernah beraksi dalam perlawanan utama, sebagai pertukaran dengan Radja Nainggolan musim panas lalu.

Dia diberikan tepukan gemuruh oleh penyokong tuan rumah yang melihatnya sebagai pengganti legenda kelab Francesco Totti.

Perlawanan menjadi ‘hidup’ pada pertengahan separuh masa kedua apabila Zaniolo melakukan penyudah tepat hasil hantaran Edin Dzeko.

Dia kemudiannya meledak gol kedua, apabila Dzeko melakukan serangan balas tetapi rembatannya melantun dari tiang yang disambut Zaniolo untuk menggegar gawang lawan.

“Meraikannya di bawah ‘curva’ sesuatu yang luar biasa. Saya tidak boleh gambarkannya. Saya harap dapat menjaringkan lebih banyak lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 9:11 AM