AFP

Rome: Francesco Totti (gambar) mengesahkan persaraannya kelmarin dengan pemain legenda AS Roma itu mengumumkan “perjalanan baru” dalam karier gemilangnya apabila beliau menerima peranan sebagai pengarah di kelab Serie A itu.

Bekas pemain berusia 40 tahun itu beraksi perlawanan terakhirnya buat Roma Mei lalu selepas 24 tahun bersama kelab ibu negara itu dan memutuskan untuk menggantung but sekalipun dikaitkan dengan kemungkinan perpindahan ke Asia dan Amerika Syarikat.

“Bahagian pertama kehidupan saya sebagai pemain bola sepak sudah berakhir dan kini satu lagi bahagian penting akan bermula,” tulis Totti dalam laman Facebook miliknya.

“Hingga 28 Mei lalu saya hanya memikirkan mengenai bermain bola sepak, berseronok dan memberi sumbangan bermakna terhadap pasukan.

“Kini saya meneruskan kehidupan, saya membuka tirai baru.”

Totti bermain 786 perlawanan buat Roma secara keseluruhan selepas menyertai kelab itu sebagai pemain sekolah pada 1989, menjaringkan rekod kelab 307 gol dan memenangi Piala Dunia 2006 bersama Itali.

Bekas pemain tengah menyerang itu akan bekerjasama dengan pangarah sukan baru Roma, Monchi, yang dilaporkan enggan memberikannya kontrak baru sebagai pemain dan jurulatih yang baru dilantik baru-baru ini Eusebio di Francesco.

“Saya memiliki 25 tahun dan lebih lagi sejarah bersama Roma,” ujar Totti.

“Permulaan fasa baru, satu perjalanan baru kini bermula... saya mahu memberikan segala-galanya dan saya mahu menjadi personaliti penting buat Rome dan Roma serta memahami apa yang akan saya lakukan.”

Kelab Jepun, Tokyo Verdy hampir saja mengikat Totti, namun media tempatan melaporkan perjanjian itu tidak menjadi kenyataan selepas isterinya agak keberatan berpindah ke Asia Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 10:27 AM