HAZARD (kiri) yakin gandingan bersama Higuain membuahkan hasil. FOTO Reuters
HAZARD (kiri) yakin gandingan bersama Higuain membuahkan hasil. FOTO Reuters
Reuters

LONDON: Pengatur serangan Chelsea Eden Hazard yakin mampu membentuk gandingan hebat dengan penyerang baharu kelab itu Gonzalo Higuain selepas digandingkan dalam dua perlawanan.

Chelsea meminjam Higuain daripada Juventus bulan lalu dan penyerang Argentina itu meledak dua gol ketika membelasah kelab tercorot Liga Perdana Inggeris Huddersfield Town,5-0.

Hazard, yang turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan sama di Stamford Bridge berkata, dia seronok bergandingan dengan bekas penyerang Real Madrid dan Napoli.

“Saya baru bermain dua perlawanan dengan Higuain dan saya sedar kami mampu melakukan sesuatu yang hebat bersama, bukan saja dengannya, tetapi juga penyerang dan pemain sayap yang lain,” kata Hazard, menjelang aksi berdepan Manchester City awal pagi Isnin.

“Chelsea bukan saja mengenai Higuain dan Hazard tetapi juga 25 pemain. Namun Higuain adalah penyerang yang hebat.”

Kemenangan ke atas Huddersfield menyusul selepas kekalahan di tangan Arsenal dan Bournemouth di mana gerakan Jorginho berjaya dikekang untuk ‘mematikan’ penguasan pemain Itali itu.

“Jika seorang pemain menghalangnya setiap masa, kami perlu menyesuaikan diri. Jorginho sentiasa cuba meloloskan diri untuk mendapatkan bola dan mencipta peluang. Dia pemain yang luar biasa,” kata Hazard.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 10:35 PM