REAKSI Sanchez selepas tewas kepada Chelsea dalam aksi final Piala FA. -Foto AFP
REAKSI Sanchez selepas tewas kepada Chelsea dalam aksi final Piala FA. -Foto AFP
AFP

LEGENDA Manchester United, Paul Scholes memberi amaran supaya Alexis Sanchez meningkatkan persembahannya selepas beraksi hambar ketika tumpas kepada Chelsea pada final Piala FA, semalam.

Bekas pemain tengah United itu mengkritik Sanchez sejurus United tumbang 0-1 di Wembley, hasil jaringan penalti sayap sensasi Chelsea Eden Hazard.

United musim ini menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tangga kedua tetapi mereka jauh ketinggalan 19 mata kepada juara dan musuh tetangga Manchester City.

Justeru Scholes, yang juga tonggak di zaman kendalian Sir Alex Ferguson, percaya Sanchez perlu meningkatkan prestasinya jika United mahu mendekatkan jarak dengan City pada musim depan.

“Mengenai persembahannya, dia perlu meningkatkannya lagi,” kata Scholes kepada BT Sport. “Mereka tidak boleh terus memperagakan aksi seteruk itu.

“Pada pandangan saya beberapa perlawanan pada musim depan adalah amat penting untuknya, dia perlu kembali meyakinkan penyokong yang United boleh menyaingi City.

“Mereka perlukan pemain perlawanan besar. Paul Pogba belum terbukti mampu memenangi perlawanan untuk United seperti mana Hazard lakukan untuk Chelsea.

“Sanchez juga tidak mampu melakukannya sejak Januari lalu, mereka berpandangan dia mampu, tetapi setakat ini sebaliknya yang terjadi.

“Mereka (United) perlukan dua pemain ajaib. Buat masa ini mereka hanya ada pemain yang bagus tetapi tiada pemain seperti Hazard, (Cristiano) Ronaldo, (Lionel) Messi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 11:19 PM