Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Penyokong setia The Bos Gaurus masih menunggu di kaunter jualan tiket di Stadium Perak di sini hari ini walaupun Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengesahkan semua tiket perlawanan diperuntukkan sudah habis dijual.

Penyokong itu difahamkan sudah beratur sejak jam 7.30 pagi tadi untuk membeli tiket selepas PAFA tidak menampal sebarang notis pemakluman di kaunter jualan berkenaan.

Tinjauan NSTP mendapati ramai penyokong masih belum berganjak dari kaunter jualan tiket dan mendapati tiada sebarang notis pemakluman ditampal di kaunter jualan tiket itu.

Seorang penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal berkata, dia datang dari Manjung ke Stadium Perak di sini kerana gagal mendapatkan tiket yang dijual di daerah itu semalam.

Katanya, sebaik tiba, dia berasa lega apabila melihat ramai penyokong yang beratur di kaunter jualan tiket dan bersama-sama lebih 100 penyokong beratur di kaunter itu.

“Lepas itu saya dengar tiket habis, memang kecewa dengan cara PAFA kerana langsung tidak menampal notis pemakluman yang tiket sudah habis.

“Sekurang-kurangnya tampal, tak perlu kami beratur macam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:45 PM
PENYOKONG Perak masih menunggu di kaunter jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Perak, Ipoh. -Foto ABDULLAH YUSOF
PENYOKONG Perak masih menunggu di kaunter jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Perak, Ipoh. -Foto ABDULLAH YUSOF