BOLT (kanan) inspirasi Naomi. FOTO Agensi
BOLT (kanan) inspirasi Naomi. FOTO Agensi
Agensi

ATLET legenda, Usain Bolt membakar semangat juara dua kali Grand Slam, Naomi Osaka untuk terus mencipta rekod dalam perbualan mereka di media sosial.

Minggu lalu, Naomi dinobatkan atlet wanita berpendapatan paling tinggi oleh majalah Forbes.

Dia meraih AS$37.4 juta (RM163.2 juta) dalam tempoh 12 bulan terakhir hasil hadiah wang kemenangan dan periklanan, lebih AS$1.4 juta (RM6.10 juta) berbanding Serena Williams.

Pendapatannya juga adalah rekod tertinggi pernah diraih atlet wanita dalam tempoh setahun mengatasi superstar Russia, Maria Sharapova yang mengaut AS$29.7 juta (RM129 juta) pada 2015.

Naomi mendedahkan dalam Twitter, atlet idolanya sepanjang zaman adalah Usain Bolt dan berharap dapat bertemunya suatu hari nanti.

Bolt adalah pemegang rekod dunia acara 100m, 200m dan 4 × 100m berganti-ganti.

Susulan pencapaian dan dominasi dalam acara pecut, Bolt dianggap pelari pecut terhebat sepanjang zaman.

Dia juga juara Olimpik lapan kali dan satu-satunya atlet pecut memenangi gelaran Olimpik 100m dan 200m tiga kali berturut-turut pada 2008, 2012 dan 2016 selain dua kali menjuarai acara 4 × 100m berganti-ganti.

Impian Naomi itu pantas mendapat maklum balas daripada jaguh Olimpik itu yang berkata, "Kami akan menjadikannya kenyataan. Teruskan mencipta rekod."

Naomi pemain kelahiran Jepun pertama menduduki ranking teratas perseorangan wanita selepas menjuarai lima gelaran Jelajah WTA termasuk masing-masing dua trofi Grand Slam dan di peringkat Premier Mandatory.

Dia menjuarai dua gelaran pertama Grand Slamnya berturut-turut di Terbuka AS 2018 dan Terbuka Australia 2019 dan pemain pertama melakukannya sejak pemain AS, Jennifer Capriati pada 2001. Naomi kini menduduki ranking ke-10 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 1:15 PM