NAOMI gagal pada pusingan 16 terakhir Terbuka AS baru-baru ini. — FOTO Agensi
NAOMI gagal pada pusingan 16 terakhir Terbuka AS baru-baru ini. — FOTO Agensi
AFP

BINTANG tenis Jepun, Naomi Osaka mengumumkan hari ini dia berpisah dengan jurulatihnya, perpisahan keduanya tahun ini ketika dia berusaha mengatasi kemerosotan prestasi dan ranking dunia.

Menjelang kejohanan Terbuka Pan Pasifik di Osaka, barat Jepun, pemain berusia 21 tahun itu mengumumkan dia tidak lagi berlatih di bawah kendalian Jermaine Jenkins, yang menyertai pasukannya selepas kejayaannya pada Terbuka Australia, Januari lalu.

“Saya menulis hari ini untuk memberitahu anda saya dan Jay tidak lagi bekerjasama,” luah Naomi dalam Twitter.

“Saya amat bersyukur dengan masa kami habiskan bersama dan perkara yang saya pelajari dalam dan luar gelanggang tapi saya berasakan kini masa yang tepat bagi perubahan... Terima kasih atas segala-galanya,” kata Naomi.

Naomi mencuri tumpuan dunia tenis apabila dia mengumumkan berpisah dengan jurulatih Sascha Bajin, yang mengemudi kejayaannya memenangi dua gelaran Grand Slam – Terbuka AS 2018 dan Terbuka Australia, Januari lalu.

Namun keputusannya sejak Melbourne mengecewakan. Dia tewas pusingan ketiga Terbuka Perancis di tangan Katerina Siniakova dari Republik Czech, 41 anak tangga di bawahnya dalam ranking dunia.

Dia kemudiannya mengalami kekalahan memalukan pada pusingan pertama di Wimbledon kepada Yulia Putintseva dari Kazakhstan sebelum tunduk pada pusingan 16 terakhir Terbuka AS bulan ini di tangan pemain Switzerland, Belinda Bencic.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 3:09 PM