BOLT (kanan) tamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional. FOTO/AGENSI
BOLT (kanan) tamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional. FOTO/AGENSI
AFP

KINGSTON, Jamaica: Usain Bolt menyerah kalah dalam usaha bergelar pemain bola sepak profesional susulan kegagalan dalam sesi percubaan tahun lalu bersama kelab Australia, Central Coast Mariners.

Menurut laporan media Jamaica semalam, pemenang lapan pingat emas Olimpik itu sudah berputus asa dalam impiannya untuk bermain bola sepak secara profesional.

Ikon olahraga berusia 32 tahun itu memberitahu wartawan bulan lalu dia masih belum mematikan impiannya untuk bergelar pemain bola sepak tetapi pada satu majlis di sini, Isnin lalu, Bolt berkata, dia kini merancang untuk memberi tumpuan terhadap perniagaan.

“Saya tidak mahu menyatakan saya tidak mengharunginya dengan bersungguh-sungguh, tapi untuk memikirkan semula mengenainya, bukan dengan cara kami dan anda sepatutnya belajar, tapi anda hidup dan belajar,” katanya kepada rancangan televisyen Jamaica.

“Ia pengalaman yang bagus. Saya benar-benar menikmatinya untuk berada bersama pasukan dan ia amat berbeza daripada trek dan balapan dan ia juga menyeronokkan.

“Kehidupan sebagai atlet sudah berakhir, jadi saya kini beralih kepada perniagaan yang berbeza. Ada banyak yang sedang saya rancangkan, jadi seperti yang saya katakan, saya hanya mencuba segala-galanya dan kini cuba menjadi ahli perniagaan.”

Bolt bercakap demikian selepas menyerahkan cek berjumlah lebih AS$1 juta (RM4.13 juta) untuk membantu membiayai pasukan Jamaica pada Sukan Olimpik Khas Musim Panas di Emiriah Arab Bersatu, Mac depan.

Bintang temasya Olimpik Beijing, London dan Rio de Janeiro itu begitupun menyuarakan kebimbangannya terhadap generasi pelari pecut baharu Jamaica susulan persaraannya daripada olahraga pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 10:43 AM