TOMIYASU (kanan) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto EPA
TOMIYASU (kanan) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto EPA
AFP

SHARJAH, UAE: Jaringan tunggal Takehiro Tomiyasu menyingkirkan Arab Saudi daripada saingan Piala Asia dengan Jepun mara ke suku akhir selepas menewaskan juara tiga kali itu 1-0.

Tandukan Tomiyasu pada babak pertama itu sudah cukup buat Jepun menempah tiket ke suku akhir pada aksi yang disifatkan hambar walaupun membabitkan dua pasukan yang sudah menghimpun tujuh kejuaraan itu.

Meskipun tidak memperagakan aksi meyakinkan pada kempen kali ini, Jepun yang juga juara empat kali itu akan bertemu juara Asia Tenggara, Vietnam pada aksi suku akhir.

Arab Saudi seharusnya meraih gol pembukaan namun Jepun menggunakan kesempatan selepas menyempurnakan sepakan sudut pada minit ke-20.

Tomiyasu yang beraksi di Belgium melepasi kawalan pertahanan lawan dan menanduk masuk jaringan pertamanya bagi kempen kali ini.

Arab Saudi beroleh dua peluang untuk mengikat kedudukan menerusi tandukan sebelum percubaan Hatan Bahbri sekadar melencong keluar melepasi palang.

Percubaan Yoshinori Muto berjaya dihalang pada minit ke-60 sebelum beberapa peluang dicipta Arab Saudi namun dikecewakan oleh penyudah yang tidak berkesan.

Arab Saudi terus buntu untuk memburu gol pengikat sekali gus menyaksikan mereka gagal meledak sebarang gol selepas menjaringkan enam gol dalam dua aksi pertama peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:16 PM