ODEGAARD menyempurnakan sepakan penalti yang memastikan Arsenal menang 1-0 ke atas Crystal Palace. FOTO REUTERS
ODEGAARD menyempurnakan sepakan penalti yang memastikan Arsenal menang 1-0 ke atas Crystal Palace. FOTO REUTERS
AFP

London: Arsenal mengatasi ketiadaan Takehiro Tomiyasu akibat kad merah untuk meneruskan permulaan sempurna di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila sepakan penalti Martin Odegaard memastikan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace, awal pagi ini.

Sepakan penalti Odegaard pada minit ke-54 aksi di Selhurst Park itu memastikan Arsenal merangkul kemenangan kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, anak buah Mikel Arteta bergelut untuk mendapatkan tiga mata penting itu selepas pertahanan Jepun, Tomiyasu dibuang padang secara kontroversi selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-67.

Tomiyasu sebelum itu dilayangkan kad kuning kerana mengambil masa lama untuk membuat lontaran ke dalam dan kemudian dibuang padang selepas sedikit sentuhan terhadap Jordan Ayew.

Arteta gembira dengan cara pemain Arsenal tidak melepaskan kelebihan gol dan kini menduduki tempat ketiga liga di bekkalang pendahulu, Brighton dan Manchester City yang memiliki perbezaan jaringan.

"Kemenangan yang bagus, saya sangat gembira. Bermain 30 minit dengan 10 pemain tempat lawan sudah pasti sangat sukar," kata Arteta.

"Sebahagian pemain mengalami masalah fizikal. Pemain gantian turut cemerlang, mereka tahu apa yang perlu dibuat.

"Hari ini, kami melalui perlawanan sukar dan berjaya mengatasinya, ia membuatkan kami lebih baik."

Mengakui kecewa kerana Tomiyasu dilayangkan kad kuning pertama kerana membuang masa, Arteta berkata: "Ini perkara biasa. Saya fikir masa diambil sekitar lapan saat. Kami mungkin perlu bermain dengan pengunci masa."

Dijangka memberikan cabaran hebat untuk perebutan gelaran liga selepas dipintas saat akhir oleh City pada musim lalu, skuad utara London itu bergelut untuk menang perlawanan pembukaan dengan Nottingham Forest, hujung minggu lalu.

Walaupun belum mempamerkan gaya permainan bola sepak yang lancar dan tersusun, ia mungkin petanda mereka semakin hampir mendapatkan gelaran sulung liga sejak 2004.

Arsenal memiliki rekod di tempat lawan terbaik musim lalu termasuk 10 perlawanan tanpa bolos.

Anak buat Arteta sekali lagi membuktikan perwatakan umpama pahlawan jalanan apabila mereka menangani asakan bertali arus Palace pada hujung perlawanan.

Memandangkan penjaga gol yang baru dipinjamkan dari Brentford, David Raya turut berada dalam kalangan pemain simpanan, tumpuan utama terarah kepada penjaga gol antarabangsa England, Aaron Ramsdale untuk memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 7:30 AM