TAKEHIRO Tomiyasu kini bersama Arsenal. FOTO Agensi
TAKEHIRO Tomiyasu kini bersama Arsenal. FOTO Agensi
AFP

London: Arsenal mengikat pemain pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu dari Bologna dengan nilai £19.8 juta (RM112.7 juta).

Kelab Liga Perdana itu berkata, Tomiyasu bersetuju dengan kontrak 'jangka panjang', membabitkan perjanjian empat tahun dengan pilihan lanjutan kontrak.

Pemain berusia 22 tahun itu boleh bermain di bek tengah dan kanan, memberi pilihan buat bos Arsenal Mikel Arteta selepas Hector Bellerin dipinjamkan ke Real Betis.

Tomiyasu membuat 63 penampilan dalam Serie A bersama Bologna sepanjang dua musim lalu.

Dia bermain sebanyak 23 kali bersama Jepun dan juga pemain dalam skuad Olimpik negara matahari terbit itu, membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik itu.

"Takehiro seorang pertahanan yang baik dan mempunyai pengalaman dalam Serie A dan di peringkat antarabangsa," kata Arteta.

"Dia seorang pemain pertahanan yang serba boleh dan mempunyai kualiti di bahagian pertahanan, kemampuan teknikal yang tinggi dan penguasaan bola yang baik.

"Dia akan menjadi pemain yang penting dalam skuad kami. Kami berharap Takehiro akan bersama kami apabila dia kembali dari tugas antarabangsa."

Arsenal kini menghuni kedudukan tercorot liga selepas tewas ketiga-tiga perlawanan pertama, bolos sembilan kali dan masih belum menjaringkan sebarang gol ketika ini.

The Gunners dilaporkan mendapatkan Tomiyasu selepas seteru utama mereka Tottenham mengikat bek kanan Emerson Royal yang menjadi sasaran Arsenal sebelum ini.

Tomiyasu memulakan karier bersama kelab Jepun Avispa Fukuoka sebelum berhijrah ke kelab Belgium, Sint-Truiden dan kemudiannya ke Bologna pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 10:33 AM