PASUKAN Jepun di Piala Asia 2023. FOTO Agensi
PASUKAN Jepun di Piala Asia 2023. FOTO Agensi
Reuters

Doha: Kerapuhan benteng pertahanan Jepun harus diperbaiki segera menjelang aksi suku akhir Piala Asia menentang Iran, di Stadium Education City, Sabtu ini.

Perkara itu diakui tonggak pertahanan, Takehiro Tomiyasu yang menegaskan barisan belakang pasukan perlu tampil lebih ampuh jika mahu menjulang trofi itu.

Terdahulu, skuad Samurai Biru itu mudah melepasi pusingan 16 terbaik selepas membenam Bahrain 3-1, namun kesilapan pertahanan yang menyaksikan lawan berjaya meraih gol saguhati itu perlu dielakkan.

"Jelas sekali kami mahu kekal tanpa bolos di setiap perlawanan tetapi hari ini kami gagal melakukannya. Kami perlu cuba lagi pada perlawanan seterusnya," kata Tomiyasu.

Walaupun pengendali Jepun, Hajime Moriyasu berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, mereka belum tampil 100 peratus dan Tomiyasu turut bersetuju.

"Saya rasa kami belum berada di tahap terbaik. Kami sepatutnya melakukan dengan lebih baik hari ini, terutama di babak kedua.

"Kami perlu mengesahkan kemenangan ketika mendahului 2-0, tetapi kami memberi mereka harapan apabila dapat menjaringkan gol. Kami perlu mengawal permainan dengan lebih baik," katanya.

Tomiyasu beraksi di posisi bek kanan untuk kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal tetapi Moriyasu meletakkannya sebagai bek tengah selepas pemain 25 tahun itu pulih daripada kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 1:15 PM