Keiran tetap positif biarpun tewas kepada THT. FOTO FB
Keiran tetap positif biarpun tewas kepada THT. FOTO FB
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Tonggak import Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Keiran Govers tetap positif di sebalik kekalahan pasukannya kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada perebutan Piala Sumbangsih semalam. 

Pemain dari Australia itu percaya ia petanda yang lebih baik akan hadir untuk juara Piala TNB musim lalu itu.

"THT mendominasi separuh masa pertama dan kami mula mengawal permainan di babak kedua. Kami memperoleh peluang pada lewat permainan.

"Secara keseluruhan saya percaya pasukan sudah memberikan aksi terbaik," 

"Sudah tentu ia satu pengalaman manis jika dapat memenangi Piala Sumbangsih tetapi apapun kami tetap berjaya mengutip satu mata selepas seri 2-2 pada masa penuh," kata Govers yang hadir sehari sebelum aksi Piala Sumbangsih bersama-sama penjaga gol dari Ireland, David Harte serta pemain Belanda, Martijn Havenga.

UniKL dilihat tidak bernasib baik apabila tewas menerusi penentuan penalti 1-3 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Esok UniKL bakal bertemu Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada saingan Liga Perdana di Stadium Tun Razak. 

"Kami perlu bekerja keras dengan cuba membentuk persefahaman dan memahami corak permainan yang dimahukan," kata Govers yang mempunyai pengalaman luas beraksi pada pentas tertinggi seperti Sukan Komanwel dan Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Australia sebelum bersara tahun lalu. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:13 PM