SYAZWAN (kanan) dikatakan bakal kembali ke Johor. FOTO/NSTP
SYAZWAN (kanan) dikatakan bakal kembali ke Johor. FOTO/NSTP
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Adakah Syazwan Andik Ishak bakal mengikut jejak Akhyar Rashid dengan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan?

Itu persoalan yang bermain di fikiran peminat ketika ini selepas khabar angin pertahanan kiri Harimau Malaya itu akan kembali ke Johor semakin bertiup kencang.

Walaupun sebelum ini Selangor dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Syazwan, namun arah tuju bintang muda berusia 22 tahun itu masih menjadi misteri.

JDT menjadi pasukan yang dikaitkan dengan Syazwan susulan pengendali Selangor, B Sathianathan dilapor mengesahkan anak jati Johor itu tidak akan menyertai Red Giants.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa ketika dihubungi Sukan NSTP juga menjelaskan tidak mengetahui pasukan mana yang akan disertai Syazwan.  

"Kita belum terima apa-apa lagi, kalau dia kata nak pergi sana (JDT), itu hak dia. Jika kita simpan (kekalkan) pun, kalau dia sudah tidak minat (beraksi) dengan KL (Kuala Lumpur), nak buat macam mana.

"Dia pun datang dari Johor, jadi kita akan bincang dengan pasukan itu. (JDT) belum hubungi (KLFA) lagi," kata Nokman.

"Kita tak pernah tahan pemain, kalau dia nak pergi, itu hak dia untuk beraksi dengan mana-mana pasukan. Saya tak tahu mana satu (pasukan akan disertai Syazwan), saya tak terima apa-apa surat lagi."

KLFA sebelum ini menetapkan nilai pampasan RM1.6 juta buat mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Syazwan yang sudah membuat permohonan rasmi meninggalkan skuad The City Boys itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 4:40 PM