NAZRIN (kiri) teruja sertai Melaka. FOTO/NSTP
NAZRIN (kiri) teruja sertai Melaka. FOTO/NSTP
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Bekas penyerang kebangsaan, Nazrin Nawi yakin kembali menemui sentuhan cemerlang bersama skuad Melaka United (MU) musim ini.

Dia yang beraksi lincah ketika mewakili Johor Darul Ta'zim (2014-2016) yakin mampu menampilkan bisanya bersama skuad Hang Tuah yang dibimbing Zainal Abidin Hassan kali ini.

Nazrin berkata, dia akan menggunakan kesempatan yang ada untuk memacu kecemerlangan skuad baharunya itu.

"Pada saya, apa yang penting sekarang membentuk persefahaman yang jitu untuk menghasilkan keputusan berbaloi buat pasukan.

"Dengan kehadiran pemain tengah terbaik, Safiq Rahim dan pengalaman luas Shukor Adan, Razman Roslan serta import baharu dan pemain tempatan lain tidak mustahil MU mampu tampil lebih gah kali ini,"katanya.

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan yang juga pernah beraksi bersama Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur itu melihat MU memiliki resepi yang cukup untuk menceriakan peminat setia.

Berikutan itu, dia dan rakan sepasukan akan menggunakan sepenuhnya pengalaman dan tunjuk ajar jurulatih sepanjang sesi latihan dan aksi pramusim untuk meningkatkan corak persembahan.

"Secara peribadi saya masih belum puas hati dengan prestasi ditampilkan dan masih dahagakan kejayaan lebih besar selepas beraksi bersama skuad Hobin Jang Hobin, Harimau Selatan dan Seladang.

"Sasaran peribadi bersama MU kali ini adalah menjulang sebanyak mungkin piala untuk dihadiahkan kepada penyokong pasukan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 4:22 PM