NAZRIN (kiri) ketika bersama skuad kebangsaan tiga tahun lalu. — FOTO Fail
NAZRIN (kiri) ketika bersama skuad kebangsaan tiga tahun lalu. — FOTO Fail
Nazri Abu Bakar


SESUDAH terlepas aksi empat perlawanan Liga Super, bekas pemain kebangsaan, Nazrin Nawi berazam membantu Melaka United mengatasi Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Ahad ini.

Nazrin yang baru pulih daripada kecederaan lutut kanan ketika aksi pramusim di Vietnam awal Januari lalu agak terkilan kerana gagal menyumbang tenaga pada aksi sebelum ini.

Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan yang juga bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan dan Perak itu terlepas aksi berdepan PJ City, PKNS, Pahang dan JDT nyata bernafsu besar untuk kembali menyerlah.

“Memang saya rasa terkilan tak dapat menyumbang kudrat namun apa daya kecederaan membataskan peluang saya untuk bermain.

“Kini saya sudah pulih namun masih dalam proses memantapkan tahap kecergasan. Namun jika diberikan peluang saya akan buktikan kemampuan sebenar,” katanya.

Justeru, dia tekad untuk tampil agresif walaupun baru saja pulih daripada kecederaan, malah berazam melakukan sesuatu buat skuad Hang Tuah walaupun hanya diturunkan dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.

Apa pun, Nazrin menyerahkan kepada pengendali Zainal Abidin Hassan menentukan kedudukannya Ahad ini sama ada diturunkan atau sebaliknya.

Nazrin berkata, setakat ini dia melihat persembahan skuad itu amat positif terutama corak permainan lebih efektif sekali gus yakin skuad Hijau Putih mampu meraih mata maksimum di gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:08 PM