NAZRIN (kanan) tak jemu asah ketajaman sepakan percuma.
NAZRIN (kanan) tak jemu asah ketajaman sepakan percuma.
Nazri Abu Bakar


"SAYA tidak akan berhenti mempelajari teknik tendangan percuma kerana ia mampu menghadiahkan kemenangan buat pasukan,” kata penyerang Melaka United (MU), Nazrin Nawi.

Dia yang dianggap pakar sepakan percuma turut meledak lima jaringan dan dua daripadanya menerusi set -piece yang menarik buat Melaka setakat ini.

Terbaru bola mati yang diambilnya menuju tepat ke penjuru kanan gawang PDRM pada saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat kira-kira tiga minggu lalu.

Menurutnya, dia sentiasa mengasah kebolehannya menerusi latihan agresif sebelum dan selepas sesi latihan.

Katanya, dia menggunakan lebih 10 biji bola dalam sesi latihan termasuk dua hari sebelum perlawanan sebenar dalam memastikan ketepatan teknik terbabit serasi dengan cara sepakan.

"Lebih kerap latihan lebih baik kerana mampu menepati sasaran terutama ketika perlawanan.

Berikutan itu, saya tidak pernah jemu melakukan sepakan daripada pelbagai sudut kerana ia mampu meningkatkan kemahiran termasuk menerusi sepakan sudut,"katanya.

Nazrin berkata, apa yang penting dia perlu belajar teknik bagaimana untuk melajukan pergerakan bola setiap kali mengambil sepakan percuma dan memastikan bola tepat ke sasaran.

Bekas pemain kebangsaan, Johor Darul Ta 'zim (JDT) dan Perak itu menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai idola dengan sentiasa mengikuti video dan Youtube pemain Portugal itu untuk menjadikan sepakannya persis bekas pemain terbaik dunia terbabit.

Beliau berkata, walaupun tidak dapat menyamai kehebatan pemain itu, dia tetap puas apabila dapat menjaringkan gol buat pasukan malah diberi peluang melakukan sepakan percuma dianggap sebagai penghargaan buatnya membuktikan kemahiran.

Selain Nazrin, Melaka juga memiliki Safiq Rahim yang mampu melakukan sepakan percuma yang menarik buat skuad terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 8:06 PM