AZMI (kanan) gesa rakan sepasukan benam PKNS. FOTO/FAIL
AZMI (kanan) gesa rakan sepasukan benam PKNS. FOTO/FAIL
Nazri Abu BakarĀ 


PEMAIN pertahanan Melaka United (MU), Azmi Muslim memberi sepenuh tumpuan menjelang perlawanan berdepan PKNS FC pada saingan kumpulan B di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Baginya, hanya kemenangan ke atas lawan membuka laluan lebih selesa buat skuad Hang Tuah untuk menempah tempat ke suku akhir.

Justeru, kemenangan 6-1 ketika berdepan PDRM minggu lalu menjadi azimat berharga buat skuad itu beraksi lebih yakin untuk meraih tiga mata.

Katanya, apa yang pasti laluan amat getir berdepan The Red Ants selepas mereka memperoleh motivasi tinggi berikutan kemenangan 1-0 ke atas pendahulu kumpulan yang juga antara pasukan pilihan, FELDA United di Jengka Selasa lalu.

"Dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri sudah tentu mereka juga akan bertindak agresif untuk mengatasi MU selepas hanya seri 3-3 ketika pusingan pertama di Stadium Hang Jebat.

"Namun, kami juga akan bertindak sebaik mungkin untuk tidak terlepas peluang mengisi satu slot ke suku akhir dengan misi sama meraih tiga mata ketika bertemu FELDA di Melaka selepas ini," katanya.

Bagaimanapun, fokus utama adalah melepasi halangan anak buah jurulatih Datuk K Rajagobal terlebih dulu, sebelum memikirkan cabaran skuad bimbingan K Sathianathan.

Bekas pemain kebangsaan yang beraksi di posisi pertahanan kiri dan mewakili PKNS musim lalu itu juga berusaha mengulangi kecemerlangan menjuarai Piala Malaysia 2015 ketika bersama Selangor.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang pernah menyertai pasukan MyTeam 2006-2009, Kedah (2010-2011), Johor Darul Ta'zim (JDT), FELDA United (2013), ATM (2012) dan Selangor (2014-2016) itu antara tunjang utama skuad Hang Tuah musim ini.

Malah, dia berjaya menampilkan persembahan meyakinkan selepas bebas dari masalah kecederaan sekali gus mengharapkan skuad berkenaan mampu mencatat kejayaan lebih besar musim ini.

MU kini berada di tangga ketiga selepas mengumpul enam mata dengan FELDA dan PKNS di tangga pertama dan kedua masing-masing meraih tujuh mata, manakala PDRM di kedudukan keempat dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 1:49 PM