Kante mahu skuadnya sokong Hazard. FOTO AFP/REUTERS
Kante mahu skuadnya sokong Hazard. FOTO AFP/REUTERS
Agensi

LONDON: Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante menggesa rakan sepasukannya supaya memberi lebih sokongan terhadap pemain bintang kelab itu, Eden Hazard susulan keputusan mengecewakan yang diperoleh, baru-baru ini.

Hazard dianggap pemain paling menyerlah Chelsea musim ini selepas menyumbat 10 gol dan sembilan umpanan dalam kempen Liga Perdana Inggeris setakat ini tetapi keputusan seri 0-0 dengan Southampton, Rabu lalu mencalar reputasi itu.

Pemain Belgium itu beraksi baik pada perlawanan di Stamford Bridge tetapi tidak mendapat bantuan secukupnya daripada rakan sepasukan yang menyaksikan Chelsea keciciran mata buat kali kedua berturut-turut di gelanggang sendiri.

Menjelang aksi pusingan tiga Piala FA menentang Nottingham Forest malam esok, Kante yang juga tonggak skuad Perancis yang menjulang Piala Dunia tahun lalu memuji prestasi Hazard tetapi menegaskan seluruh pasukan perlu memberikan lebih sumbangan.

“Anda tahu Eden pemain yang menakjubkan, dia banyak membantu kami musim ini dan musim sebelum ini,” kata Kante.

“Dia boleh menjadi perbezaan dalam permainan tidak kira masa, tapi kami tidak boleh bergantung harap kepada seseorang pemain. Kami mencipta peluang dan kami melepaskannya.

“Ia tempoh yang sukar tapi kami perlu kembali bangkit.”

Menentang Southampton, Chelsea memperoleh jaringan menerusi Alvaro Morata tetapi dibatalkan susulan ofsaid selain dinafikan kecemerlangan penjaga gol pelawat, Angus Gunn.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 5:54 PM