TAN Cheng Hoe. FOTO arkib NSTP
TAN Cheng Hoe. FOTO arkib NSTP
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe enggan mengulas lanjut berhubung masa depannya bersama Harimau Malaya.

Kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berakhir kelmarin namun badan induk itu masih belum membuat keputusan rasmi sama ada akan mengekalkan Cheng Hoe atau sebaliknya.

“Saya tak boleh mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini dan tunggu saja perbincangan FAM,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Sukan NSTP semalam melaporkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu sedang mencari tarikh sesuai untuk membincangkan kontrak Cheng Hoe dalam masa terdekat.

Berdasarkan komen Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi sebelum ini, peluang buat Cheng Hoe dilanjutkan kontrak tampak cerah selepas berjaya meningkatkan persembahan Harimau Malaya.

Apa yang pasti FAM mesti membuat keputusan pantas kerana Harimau Malaya perlu melakukan persiapan rapi bagi mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pertengahan tahun ini.

Mengulas mengenai kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, Cheng Hoe mengakui Harimau Malaya perlu memperkemaskan persembahan mereka termasuk dari aspek kemahiran individu.

“Apa yang penting pemain kena meningkatkan prestasi mereka. Kita tak tahu akan jumpa pasukan mana lagi, tapi yang pasti kita akan jumpa pasukan lebih kuat seperti dari Timur Tengah, Asia Barat atau Asia Tengah.

“Sudah pasti laluannya lebih sukar dan saya harap pemain ambilnya sebagai satu cabaran. Saya rasa mereka pun bersemangat untuk bermain di pentas lebih tinggi,” katanya.

“Dalam bola sepak kena ada perubahan, kita tak boleh fokus di Asia Tenggara saja. Jadi kita perlu meningkatkan pasukan dan kemahiran individu ke satu tahap lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 6:05 PM