NOORUL Ariffin (dua dari kiri) ketika menyampai sumbangan kerusi roda kepada Yayasan IJN. FOTO Sukhairi Thani
NOORUL Ariffin (dua dari kiri) ketika menyampai sumbangan kerusi roda kepada Yayasan IJN. FOTO Sukhairi Thani
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebagai tanda membalas budi kepada Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berbesar hati menyalurkan 10 buah kerusi roda kepada institut berkenaan.

Dalam satu majlis penyerahan di IJN hari ini, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, sumbangan itu sebagai tanda pihaknya menghargai bantuan diberikan IJN menerusi Yayasan IJN terhadap ahli.

Menurut Noorul Ariffin sebelum ini, dua ahli Yakeb iaitu bekas penjaga gol hoki negara, Ahmad Fadzil Zainal Abidin dan Allahyarham Rehan Mohamad Din menerima bantuan daripada Yayasan IJN dan ia secara tidak langsung mengurangkan beban ditanggung bekas atlet berkenaan.

"Ini untuk menghargai Yayasan IJN yang banyak membantu bekas atlet melalui Yakeb. Kita ada dua bekas atlet iaitu Fadzil pada 2018 dan Allahyarham Rehan (2020) yang diberikan bantuan.

"Kita juga ada beberapa bekas atlet yang kita sudah berikan nama kepada Yayasan IJN dan mereka sedang meneliti bagaimana untuk dibantu dan ia akan dinilai sama ada layak atau tidak bagi mendapatkan bantuan.

"Untuk hari ini, Yakeb memberi 10 unit kerusi roda. Satu sumbangan kecil bagi saya kerana Yayasan IJN sudah banyak membantu dan mereka juga akan terus membantu Yakeb," katanya.

Noorul Ariffin berkata, pihaknya berharap akan ada lebih ramai pihak swasta ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) tampil membantu Yakeb dalam mengurangkan beban bekas atlet yang banyak mengerah keringat sebelum ini. "Saya sangat berharap agensi lain tampil seperti mana Yayasan IJN membantu kami, membantu bekas atlet yang boleh dikatakan dalam 80 peratus adalah B40 apatah lagi ramai antara mereka kini jatuh sakit semenjak pandemik Covid-19 ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi mengalu-alukan kerjasama diberikan Yakeb.

"Kita mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama yang mana-mana pihak boleh berikan. Sekiranya dilihat trek rekod Yayasan IJN sepanjang beberapa tahun ini, kalau tak banyak, sikit pun akan cuba dibantu pada yang memerlukan atau yang kurang berkemampuan di bawah Program Bantuan Pesakit. Kami akan cuba membantu berdasarkan kelayakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 8:33 PM