JEJE LALPEKHLUA
JEJE LALPEKHLUA
Reuters

NEW DELHI: Penyerang India, Jeje Lalpekhlua percaya ‘kefahaman telepati’ antaranya dengan Sunil Chhetri di bahagian depan mampu memperkuatkan pasukan apabila mereka kembali beraksi pada Piala Asia selepas lapan tahun.

Chhetri mempunyai rekod 65 gol daripada 103 perlawanan antarabangsa sejak penyertaan pertamanya pada 2005 dan ia menjadikannya selaku penyerang paling prolifik di India.

Namun pasukan bimbingan Stephen Constantine tetap memerlukan penyudah berbisa Lalpekhlua sekiranya mereka mahu melepasi peringkat kumpulan pada kejohanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 5 Januari hingga 1 Februari depan.

“Saya bermain bersamanya sejak penampilan pertama saya. Sejak itu kami sering bermain bersama,” kata penyerang Mizo itu. “Saya rasa kami berdua cergas dan saling melengkapi antara satu sama lain... kami mempunyai kefahaman telepati di padang.”

India membuka kempen Kumpulan A menentang Thailand pada 6 Januari depan sebelum bertemu tuan rumah UAE dan Bahrain.

Chhetri satu-satunya pemain daripada pasukan 2011 yang sebelum ini tewas dalam semua tiga aksi peringkat kumpulan di Qatar, namun Lalpekhlua menegaskan pasukan itu sudah menunjukkan peningkatan lebih positif sejak itu.

“Dengan setiap perlawanan (disertai), kami sudah menjadi lebih baik dan mencapai banyak kejayaan,” katanya. “Pasukan ini kuat dan kami sudah bekerja keras.

“Kami yakin dengan kemampuan pasukan dan berasa kami mampu mengharungi setiap cabaran.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 12:36 PM