Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kedua dalam aksi Liga Negara-Negara. FOTO AFP
Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kedua dalam aksi Liga Negara-Negara. FOTO AFP
Agensi

CRISTIANO Ronaldo berjaya meledak gol ke 101 antarabangsa bersama pasukan negaranya malam tadi hanya lapan gol untuk menyamai rekod penjaring terbanyak Ali Daei.

Bintang bola sepak dunia itu meledak dua gol ketika membantu kemenangan 2-0 Portugal ke atas Sweden dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Penyerang Juventus itu hanya memerlukan sembilan lagi gol untuk berada di puncak senarai penjaring terbanyak pasukan kebangsaan.

Penyerang Iran, Ali Daei meledak 109 gol dalam 149 kap penampilan buat negaranya sementara Ronaldo beraksi 164 penampilan untuk mencapai rekod jaringannya itu.

Turut berada dalam senarai 10 teratas penjaring terbanyak buat negara masing-masing antaranya ikon Real Madrid, Ferenc Puskas yang beraksi buat Hungary dan Sepanyol iaitu 84 gol dalam 89 penampilan; pemain Jepun, Kunishige Kamamoto (80 gol dalam 84 penampilan); Godfrey Chitalu dari Zambia (79 gol dalam 108 penampilan) dan Hussein Saeed dari Iraq (78 gol dalam 137 penampilan).

Legenda bola sepak Brazil, Pele pula mencatat 77 gol dalam 92 penampilan, diikuti Sandor Kocsis dari Hungary (75 gol dalam 68 penampilan), Bashar Abdullah dari Kuwait (75 gol dalam 133 penampilan) dan pemain India, Sunil Chhetri (72 gol dalam 115 penampilan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 11:06 PM