CONSTANTINE umum letak jawatan selepas India tewas kepada Bahrain. FOTO/AGENSI
CONSTANTINE umum letak jawatan selepas India tewas kepada Bahrain. FOTO/AGENSI
AFP

0SHARJAH: Ketua jurulatih India, Stephen Constantine meletak jawatan selepas gol pada masa kecederaan Bahrain menyaksikan mereka tewas 0-1, sekaligus gagal mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama di Piala Asia.

Sementara itu, tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mengesahkan status juara Kumpulan A, selepas seri 1-1 dengan Thailand dan menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan kalah mati.

India hampir mencipta sejarah untuk melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama sebelum Jamal Rashid menyempurnakan sepakan penalti yang meranapkan impian India dan memberi ruang kepada Bahrain untuk mara.

Selepas kekalahan itu, Constantine mengumumkan mahu meletak jawatan.

"Stephen Constantine meletak jawaatan selepas perlawanan ini. Saya sudah menggalas tugas ini selama empat tahun.

“Objektif utama saya sejak hari pertama adalah untuk membantu India layak ke Piala Asia. Saya sudah melakukannya dan kami juga dapat melakar beberapa rekod baharu.

“Saya sangat berbangga dengan setiap pemain yang sudah memberikan segala-galanya kepada pasukan. Saya fikir kitaran karier saya sudah berakhir.

“Saya sudah melakukan apa yang dimahukan dan tiba masanya untuk berhijrah,” katanya.

India menewaskan Thailand 4-1 pada perlawanan pembukaan untuk meraih kemenangan pertama mereka di Piala Asia selepas lebih 50 tahun.

Bagaimanapun, kekalahan 0-2 kepada UAE menjadikan perlawanan dengan Bahrain cukup penting, namun ia berakhir dengan kekalahan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:51 AM