Syamer pamer peningkatan dalam permainan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO HM Digital
Syamer pamer peningkatan dalam permainan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO HM Digital
Farah Azharie

 

KUALA LUMPUR: Pada peringkat awal kempen Piala AFF, gandingan Syamer Kutty Abba dan Akram Mahinan menerima kritikan hebat kerana dikatakan kurang berkesan, namun mereka kini menerima pujian selepas Malaysia berjaya menempah slot ke final. 

Bagaimanapun, pemain tengah skuad Harimau Malaya berusia 21 tahun itu enggan mendabik dada dengan perubahan mendadak berkenaan dan menegaskan beliau masih muda dan banyak perkara perlu dipelajari dari semasa ke semasa.  

"Pada peringkat awal memang banyak kritikan diterima, namun kami menganggapnya sebagai motivasi dan memperbaiki setiap kelemahan sehingga kita sampai di sini (final) sekarang.

"Bagi saya, saya masih muda, banyak perkara perlu dipelajari dalam setiap perlawanan. Saya tahu saya sudah mempamerkan banyak peningkatan dan berharap dapat mengekalkan rentak pada perlawanan akhir nanti," katanya.

Syamer yang dipinjamkan ke pasukan divisyen tiga Portugal, Vilaverdense FC tahun ini, berkata beliau berasa amat gembira dengan pencapaian skuad Harimau Malaya berjaya mara ke final dalam penampilan sulungnya di Piala AFF.

"Sudah tentu saya berasa amat gembira dengan kejayaan Malaysia mara ke final kerana ini adalah penampilan sulung saya di kempen Piala AFF. Kami sudah berjuang bermati-matian dan tuah berpihak kepada kami," katanya.

Pemain berasal dari Pulau Pinang yang pernah bermain untuk skuad bawah 20 dan 23 tahun negara itu menegaskan pengalaman bertemu dengan Vietnam di peringkat kumpulan juga dapat membantu skuad Harimau Malaya beraksi dengan lebih baik di final nanti.

"Kami hanya mempunyai beberapa hari untuk membuat persiapan, kami akan jadikan pertemuan dengan Vietnam sebelum ini sebagai motivasi untuk kami bermain dengan lebih baik dan tidak akan membenarkan mereka memperoleh kemenangan mudah," katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk final pertama menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini, sebelum bertandang ke Hanoi bagi perlawanan akhir kedua, pada 15 Disember.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 5:58 PM