ALBA belum ditawarkan kontrak. FOTO/AGENSI
ALBA belum ditawarkan kontrak. FOTO/AGENSI
Agensi

BARCELONA: Pertahanan kiri Barcelona Jordi Alba berkata, dia hairan apabila kelab masih belum menawarkan kontrak baru kepadanya tetapi menegaskan dia tetap berminat menamatkan kariernya di Camp Nou.

Kontrak Alba, 29, tamat pada 2020 dan belum ada rundingan mengenainya walaupun bekas pengarah bola sepak Barca, Raul Sanllehi yang sekarang ini di Arsenal berjanji untuk kontrak baru dua tahun lalu.

Dengan tinggal 18 bulan lagi, dia dikaitkan dengan Manchester United dan Juventus beberapa minggu lalu tetapi menyatakan tiada rancangan untuk berpindah.

"Tiada berita rundingan baru,” katanya. "Saya tak tahu apa difikirkan kelab. Agak hairan kerana kontrak saya tamat tak lama lagi.

"Impian saya untuk menamatkan karier di sini. Kita tunggu sahaja.”

Alba yang menyertai semula Barca dari Valencia pada 2012 berkata, dia tiada petunjuk bila hierarki kelab Catalan itu akan menjelaskan perkara itu.

"Saya tak tahu keinginan pengarah atau bila masa sesuai untuk mereka menyatakan kepada saya, itu pun jika mereka memikirkannya,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

Sementara itu, Rafinha terpaksa melupakan baki perlawanan musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen di lutut kiri ketika menentang Atletico Madrid, Sabtu lalu dan akan menjalani pembedahan beberapa hari lagi.

Sergi Roberto turut diketepikan sebulan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Atletico.

Situasi itu sudah pasti meresahkan jurulatih Ernesto Valverde menjelang pertembungan dengan PSV Eindhoven dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis. Slot ke saingan 16 terakhir sudah dalam genggaman tetapi kemenangan memastikan mereka menduduki tempat teratas kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 12:48 PM