ALBA sertai Messi, Busquets di Inter Miami. -FOTO Twitter
ALBA sertai Messi, Busquets di Inter Miami. -FOTO Twitter
Reuters

Miami: Pemilik Inter Miami, Jorge Mas memaklumkan bahawa kelab itu menandatangani seorang lagi bekas rakan sepasukan Lionel Messi dari FC Barcelona iaitu pemain pertahanan Sepanyol, Jordi Alba.

Miami mengikat Messi, pemenang Ballon d'Or tujuh kali dan memperkenalkannya kepada peminat Ahad lalu dengan kelab turut mengumumkan menandatangani Sergio Busquets yang bermain dengan Messi dan Alba di Barcelona.

Alba, 34, adalah kapten pasukan Sepanyol dan meninggalkan Barcelona pada musim panas ini untuk menjadi ejen bebas.

Sepanjang kariernya selama 15 tahun yang dihabiskan sepenuhnya bersama kelab Sepanyol itu, Alba meledak 26 gol dan 70 bantuan dalam 422 perlawanan (358 permulaan). Dia bersama Barcelona sejak 2012-13.

Alba mungkin bukan pemain antarabangsa terakhir menyertai Inter Miami tahun ini.

Luis Suarez yang menghabiskan beberapa tahun bersama Messi di Barcelona turut dikaitkan dengan Miami.

Bagaimanapun Suarez, 36, yang kini bermain bersama Gremio di Brazil dan Mas berkata belum ada sebarang perbincangan dengan pemain atau kelab itu.

"Saya tidak tahu bagaimana Luis Suarez boleh meninggalkan Gremio. Tetapi jika dia melakukannya, kami bebas bercakap dengan Luis dan membawanya ke Inter Miami," kata Mas.

"Kemungkinan itu akan ada."

Bagi Messi sendiri, pemain berusia 36 tahun itu sudahpun berlatih dengan Inter Miami buat kali pertama Selasa lalu dan Mas mengulangi apa yang dia katakan beberapa minggu sebelum menandatangani perjanjian rasmi: bahawa penampilan sulung Messi akan bermula Sabtu ini dalam perlawanan pembukaan Piala Liga kelab menentang Cruz Azul dari Mexico City.

Tidak diketahui sama ada Messi akan bermula atau dimasukkan dari bangku simpanan dalam perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 8:59 AM