SHUKRI Mutalib. FOTO arkib NSTP
SHUKRI Mutalib. FOTO arkib NSTP
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: Shukri Mutalib sudah menyaksikan semuanya sejak diserapkan dalam skuad senior hoki kebangsaan oleh jurulatih ketika itu, Paul Lissek.

Lissek menjadi individu yang bertanggungjawab mengenal pasti bakat dimiliki Shukri ketika dia berusia 16 tahun dan beraksi dalam saingan Liga Hoki Remaja.

Setahun kemudian, dia mendapat peluang membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa ketika perlawanan menentang China pada 2003, menjadikannya sebagai pemain paling muda negara beraksi dalam skuad senior.

Dan pada usia 32 tahun, dia akan mengetuai cabaran Malaysia pada kempen Piala Dunia di Bhubaneswar bermula 28 November hingga 16 Disember.

Dia memulakan kerjayanya pada 2005 dengan beraksi pada Piala Dunia Remaja di Rotterdam dan menjadi salah seorang daripada dua pemain daripada skuad itu yang beraksi dalam dua kempen Piala Dunia.

Seorang lagi pemain ialah Tengku Ahmad Tajuddin.

Shukri turut beraksi pada Piala Dunia di Hague yang menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tempat terakhir daripada 12 pasukan bertanding.

Dia juga sudah bermain di bawah kendalian ramai jurulatih dari luar negara dan apakah perbezaannya dengan jurulatih ketika ini, Roelant Oltmand dari Belanda?

"Setiap jurulatih ada pendekatan yang berbeza bagi menghadapi kejohanan dan Oltmans ketika ini memberi fokus terhadap kecergasan bagi memastikan kami cergas sepenuhnya sebelum kejohanan bermula," kata Shukri yang dilihat berat badannya susut beberapa kilogram berbanding ketika Sukan Asia di Jakarta, Ogos lalu.

"Ya, baju saya menampakkan berat badan saya hilang beberapa kilogram. Ia situasi yang sukar ketika ini tetapi tiada siapa yang mengadu kerana kami layak ke Piala Dunia. Jadi, kami perlu berada pada tahap terbaik bagi menamatkan saingan dengan keputusan yang baik," kata cikgu Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Belanda, Jerman dan Pakistan. Skuad negara perlu sekurang-kurangnya memenangi satu perlawanan untuk mara ke pusingan kalah mati.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 7:05 PM