OLTMANS perlu ada perancangan baru untuk skuad hoki negara. FOTO/NSTP
OLTMANS perlu ada perancangan baru untuk skuad hoki negara. FOTO/NSTP
Jugjet Singh

 

BHUBANESWAR: Dengan barisan kejurulatihan bertaraf dunia, Malaysia masih gagal melangkah ke pusingan play-off saingan Piala Dunia tetapi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ketua jurulatih skuad negara yang cukup terkenal di serata dunia, Roelant Oltmans segera dilantik oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas malapetaka di Sukan Asia Jakarta.

Pengarah Teknikal, Terry Walsh pula mempunyai pengalaman luas manakala Stephen van Huizen sudah terbabit dengan bidang kejurulatihan untuk sekurang-kurangnya 30 tahun.

Semua gabungan nama itu jika dilihat mampu membantu mana-mana pasukan di dunia ini, tetapi ia tidak mampu diterjemahkan kepada 18 pemain yang tampak tidak konsisten ketika beraksi di Stadium Kalinga.

Oltmans selepas tewas 3-5 kepada Jerman ditanya jika dia merancang untuk merombak pemain sebelum kempen kelayakan Sukan Olimpik, namun beliau tidak dapat memberikan jawapan jelas.

"Jika ada pemain remaja yang dapat bersaing menggantikan pemain sedia ada kenapa tidak?

"Saya sentiasa terbuka kepada persaingan yang sihat dan ia pasti bagus untuk pasukan jika pemain remaja ini dapat memberi cabaran kepada pemain sedia ada," katanya.

Rekod Malaysia di Piala Dunia agak hambar dengan kali terakhir Malaysian Tigers mampu melakar kemenangan adalah pada Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Malaysia menewaskan Cuba 4-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Skuad negara gagal melakar kemenangan pada Piala Dunia 2014 di The Hague yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di kedudukan terakhir daripada 12 pasukan yang bertanding dan badi itu berterusan di sini.

Bermakna mereka gagal melakar sebarang kemenangan dalam 12 perlawanan di Piala Dunia.

"Pemain tidak begitu bijak untuk melakukan keputusan sendiri apabila perlawanan memihak kepada mereka," tambah Oltmans.

Beliau pasti merujuk kepada pukulan sudut penalti minit ke-58 yang dihadiahkan kepada skuad negara ketika kedudukan semasa Malaysia 3 Jerman 4.

Sekiranya mampu menjaringkan gol, Malaysia pasti akan beraksi pada perlawanan play-off.

Namun ia gagal disempurnakan sebelum Jerman melakukan serangan balas yang akhirnya menyaksikan skuad negara tewas 3-5.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:22 PM