BEKAS Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan. FOTO Osman Adnan
BEKAS Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan. FOTO Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan meninggal dunia, menurut Setiausaha Agung AFC, Windsor Paul John.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengucapkan takziah kepada keluarga Velappan, selepas badan induk bola sepak Asia itu kehilangan bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada rantau ini.

“Bagi pihak seluruh keluarga bola sepak Asia, saya ucapkan takziah dan rasa simpati kepada ahli keluarga, antara seorang arkitek paling penting dalam sukan bola sepak Asia,” kata Shaikh Salman.

“Peter berkhidmat untuk bola sepak Asia dengan penuh minat dan profesionalisme dan berita kematiannya cukup mengejut serta menyedihkan mereka yang terbabit dalam sukan berkenaan di benua ini.

“Beliau layak mendapat penghargaan di atas setiap pencapaiannya di dalam dan di luar AFC.”

 

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata: "Visi Datuk Peter untuk bola sepak Asia menjadi inspirasi buat kami semua dan pencapaiannya di sini bersama AFC dan di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi bukti kepada cintanya terhadap sukan ini.

“Datuk Peter menetapkan standard dalam bola sepak Asia yang menjadi ikutan semua orang.

“Dia memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi di rantau ini. Ia satu penghargaan buat saya untuk mengikut jejak langkahnya.”

Mendiang lahir pada tahun 1935, belajar di United Kingdom dan Kanada sebelum menjadi guru di Seremban, dan kemudian menjadi Penolong Setiausaha Agung di FAM pada tahun 1963.

Dia memegang jawatan itu sehingga tahun 1980 dan turut menjadi pengurus pasukan serta jurulatih pasukan kebangsaan ketika Malaysia layak ke Sukan Olimpik Munich pada tahun 1972.

Pada tahun 1978, mendiang menjadi Setiausaha Agung AFC yang menyaksikan perkembangan pesat konfederasi dan bola sepak di Asia, di mana negara Asia (Jepun/Korea) menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA buat pertama kali pada tahun 2002 ketika dia masih bersama AFC.

Beliau turut mendapat penghargaan daripada FIFA pada tahun itu di atas sumbangannya selama 30 tahun untuk bola sepak.

Sebagai Setiausaha Agung yang paling lama berkhidmat dalam sejarah AFC, dia menjadi tulang belakang kepada tiga Presiden badan induk bola sepak Asia itu – Tan Sri Hamzah Abu Samah (1978-1994), Sultan Ahmad Shah (1994-2002) dan Mohamad Hamman.

Mendiang bersara pada tahun 2007, tetapi kekal menjadi penasihat untuk bola sepak akar umbi serta penyokong kuat Shaikh Salman.

Kesungguhannya dalam bola sepak di peringkat akar umbi mencetus Vision Asia – program AFC yang dirangka bagi meningkatkan kualiti bola sepak di semua peringkat di seluruh Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 12:10 PM