SETIAUSAHA Agung Malaysia (FAM) Stuart Michael Ramalingam (kiri) menerima anugerah daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tanggungjawab Sosial Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Sardor Rakhmatullaev semasa Anugerah Impian Asia AFC 2018 di AFC House, Bukit Jalil. FOTO Bernama
SETIAUSAHA Agung Malaysia (FAM) Stuart Michael Ramalingam (kiri) menerima anugerah daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tanggungjawab Sosial Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Sardor Rakhmatullaev semasa Anugerah Impian Asia AFC 2018 di AFC House, Bukit Jalil. FOTO Bernama
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Dream Asia Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 bagi kategori Pembangunan di Rumah AFC, hari ini.

Badan induk itu dianugerahkan penghargaan terbabit selepas memenuhi kriteria yang diperlukan apabila berjaya mempamerkan contoh terbaik dalam menyampaikan inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Ia dibuktikan menerusi pelbagai program di peringkat akar umbi yang menerapkan unsur pemakanan seimbang, bengkel dan kursus kejurulatihan serta program kemasyarakatan sehingga Julai 2018. 

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin melontarkan kepercayaan betapa pengiktirafan itu harus mencetus semangat kepada semua pihak yang terbabit dalam membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi

“Satu penghormatan buat kami dalam menerima anugerah ini. Terima kasih diucapkan kepada rakan kerjasama kami untuk komitmen dan sokongan yang  berterusan,” katanya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan  FAM berjaya menepati intipati tema anugerah Dream Asia iaitu melakukan perubahan untuk kebaikan bola sepak.

“Terima Kasih AFC. Anugerah ini pastinya akan menaikkan lagi FAM dalam memperbaiki mutu pembangunan remaja,” katanya.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tanggungjawab Sosial AFC, Sardor Rakhmatullaev kepada Stuart.

FAM menerima plak dan hadiah wang tunai AS$15,0000 (RM62,164) sebagai penghormatan atas usaha yang diambil dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui program ‘Eat Right to Play Right’ (ERTPR).

Sementara itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John gembira dengan komitmen semua ahli gabungan dalam berkongsi misi AFC untuk menyemai perubahan positif menggunakan bola sepak.

“Bola sepak sentiasa memberikan sinar harapan dan inspirasi kepada semua orang tanpa mengira latar belakang.

“Menerusi pengiktirafan terhadap kategori baharu ini, kami menjadikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai agenda utama dan saya yakin dapat memantapkan lagi asas buat semua ahli gabungan untuk mendidik, memperkasa dan memperkaya mereka yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 8:22 PM